Ibrahim: Henti menuduh, beri peluang JAIS sedia laporan
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) meminta semua pihak berhenti tuduh menuduh dalam isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke satu majlis di Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya, pada malam Rabu.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata semua pihak tidak perlu melenting atas kepentingan politik.
"JAIS wajar diberi peluang menyediakan laporan lengkap dan JAIS hendaklah dihormati kerana jabatan itu melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan mengikut undang-undang," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata kisah perhimpunan paderi yang didakwa mahu menubuhkan kerajaan Kristian tidak seharusnya berulang, di mana selepas pelbagai penafian dan kecaman dibuat kepada sebuah akhbar yang mendedahkannya, akhirnya seorang anggota DAP Jelutong yang membuat laporan polis mengenai perkara itu.
"Oleh itu majlis atas nama program kebajikan wajar dipantau kerana di sebalik program tersebut, ada agenda halus untuk mengabui orang Melayu Islam yang daif melalui pelbagai bantuan," katanya.
Katanya, walaupun terdapat kebebasan beragama tetapi penguatkuasaan perlu lebih berhati-hati terhadap sebarang bentuk kegiatan oleh agama-agama lain yang turut membabitkan umat Islam, termasuklah gerakan yang mungkin berselindung di sebalik nama kebajikan, yang mungkin sudah lama dijalankan senyap-senyap.
"Ini kerana Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan pihak penganut agama lain tidak boleh cuba mendakwah orang Islam memeluk agama mereka, kerana ianya salah di sisi undang-undang.
"Jangan guna alasan kebebasan beragama untuk melakukan kegiatan-kegiatan terhadap umat Islam dengan mengunakan program bantuan kemiskinan. Ianya boleh di buat cara lain seperti menyumbang kepada institusi-institusi yang sah. JAIS jangan gentar menjalankan tugas dan Allah berserta dengan orang yang benar," katanya
Bernama
berkaitan...
Pas Selangor tuntut penjelasan dan bukti dari Hasan Ali
PAS Selangor menuntut penjelasan exco kerajaan Selangor Dr Hasan Ali yang mempertahankan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya.
Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Khalid Samad berkata pihaknya tidak dapat mengulas lanjut buat masa ini sehinggalah laporan berkaitan diperoleh terlebih dahulu.
“Kita harap ada kebijaksanaan dalam isu seperti ini. Kita simpan komen akhir sehinggalah dapat laporan JAIS dan mesyuarat dewan bersama Hasan Ali untuk dapatkan penjelasan lanjut lagi.
“Kita nak tengoklah apa bukti yang dia kata ada itu,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini.
JAIS sebelum ini memberi alasan terdapat bukti penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.
Setakat ini, “kecuali satu” pihak, tiada mana-mana pihak yang mengaitkan persoalan pengembangan agama bukan Islam terhadap penganut Islam, tambah Khalid.
Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini, Khalid menegaskan, Islam menegaskan bahawa prinsip bahawa rumah ibadat mesti dihormati tidak kira apa agamanya sekali pun.
“Kalau hadir, (Datuk Seri) Najib (Razak) pun pergi ke Vatican bertemu Pope. Itu sebesar-besarnya gereja di dunia,” katanya sambil berhujah tindakan itu tidak boleh dijadikan kesimpulan sebagai proses memurtadkan Islam.
Tindakan tak beretika
Bagaimanapun, tegasnya, tindakan “masuk tanpa waran dan tanpa kebenaran” ke tempat suci tersebut haruslah dielakkan kerana ia juga dikira isu sensitif yang boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan antara kaum.
“(Insiden) ini hasil didikan dan pentarbiayahan BN selama ini. Nak tunjuk kuat, ramai, ada kuasa. Tetapi lebih penting tunjuk akhlak dan keperibadian mulia dan mampu hormati satu sama lain,” katanya.
“Saya baru balik dari Gaza. Di Gaza Israel ceroboh masjid ikut suka, kita bantah. Kita ada perasaan begitu. Saya rasa orang agama lain pun ada perasaan, pandangan sama. Pada pandangan PAS, tempat ibadat perlu dihormati,” katanya.
Berhubung serbuan JAIS kelmarin, Khalid berhujah, sekiranya terdapat individu melarikan diri sekali pun ia tidak bermaksud melakukan perbuatan salah.
“Biasalah, bila rempuh orang akan cuba lari. Mungkin dia rasa duduk (situ) pun kesalahan, (jadi) dia takut,” kata Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam.
Sementara itu, Setiausaha PAS Selangor Khairuddin Othman pula menyifatkan tindakan JAIS itu sebagai tidak beretika dan kurang sopan.
“Pengalaman dulu JAIS pernah masuk surau dan masjid secara kurang beretika. Tetapi itu zaman dulu, tetapi terbawa (hingga sekarang) mungkin,” katanya.
menurut Hasan Ali petang semalam:
Semalam Hasan mempertahankan tindakan Jais atas alasan ada bukti mahu memurtadkan umat Islam.
Beliau menegaskan, maklumat yang diterima menunjukkan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan malam tadi.
Tambah beliau, pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan “al-Quran” dan “doa” diselitkan.
Hasan menambah, seramai 12 orang beragama Islam telah menghadri majlis tersebut tetapi tiada tangkapan dibuat. Mereka disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.
Menurut Khalid, beliau percaya penganjur program tahu akan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mana menyebarkan agama lain kepada umat Islam adalah tidak dibenarkan.
“Dalam peruntukan (Perlembangaan Persekutuan) setiap orang bebas untuk mengamalkan agama masing-masing, tapi soal mahu mengajar atau menyebar ajaran agama lain kepada orang Islam adalah tidak dibenarkan.
“Saya yakin pihak gereja yang terlibat tahu akan perkara peruntukan-peruntukan ini, ia satu tuduhan yang cukup serius dan ia boleh mendatangkan implikasi yang cukup berat tapi kita harap tuduhan tak benar.
mKini
No comments:
Post a Comment