cari maklumat di sini

Your Ad Here

Saturday, May 21, 2011

16 maut tragedi tanah runtuh Hulu Langat, sembilan cedera



Mayat empat lagi kanak-kanak mangsa tanah runtuh Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat dekat sini, ditemui awal pagi ini.

Dengan itu 16 orang ditemui mati manakala sembilan yang lain cedera, tiga daripadanya kritikal, demikian menurut laporan Bernama.

Operasi mencari dan menyelamat disambung pukul 8 pagi ini.

Mayat tiga daripada empat mangsa itu, dikenali sebagai Riz, Fahad dan Hazim, kesemuanya berumur 9 tahun ditemui pada pukul 4.21 pagi dan mayat kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Boboy, 11, diitemui pada pukul 5.05 pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang semalam itu, seramai 25 orang yang terdiri daripada penghuni, warden dan kakitangan rumah anak yatim tertimbus.

Laporan semalam menyebut ada 49 orang di lokasi kejadian.

Sementara itu, satu lagi laporan Bernama menyebut, lima daripada lapan mangsa kejadian tanah runtuh yang dimasukkan ke Hospital Ampang dekat sini semalam berada dalam keadaan stabil.

Tiga lagi kritikal, kata laporan itu yang memetik Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab.

Mereka yang stabil dikenali sebagai Aizat, 12, yang cedera tangan kiri; Muhd Alauddin Sobri, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Pandan Mewah yang patah tangan kiri; Muhd Syafiq Ibrahim, 21, warden pula patah kaki kanan dan terkehel di bahagian leher; Khairul Anuar Nasri, 9, (luka kaki kanan); dan Siti Fatimah Ibrahim, 21, warden yang dikatakan mengalami trauma akibat kejadian tanah runtuh itu.

Menurut Ab Rashid, kesemua mereka cedera akibat dihempap runtuhan tanah.

Tiga lagi mangsa yang kritikal dikenali sebagai Hairi, Izudin dan Muhd Harris Izzudin Sharul Azmi.

Ada mangsa yang dihantar ke Hospital Kajang.

Pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa kira-kira 15 jam untuk mengeluarkan semua 25 mangsa yang tertimbus.

Operasi yang bermula pukul 2.45 petang semalam, berakhir kira-kira 5.30 pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Azman Ayob mangsa yang meninggal dunia di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Azman berkata, lokasi mangsa yang berada berdekatan antara satu sama lain membantu memudahkan usaha mencari dan menyelamat.

lagi gambar gambar tragedi tanah runtuh...





























Hilang selepas ditepuk gadis bertudung merah



NATRAH menunjukkan gambar anaknya yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu

ALOR SETAR – Kehilangan seorang doktor pelatih, Mohd. Noor Azam Mohd. Nazri, 26, sejak lima hari lalu menjadi bertambah misteri apabila dia pernah hilang sebanyak dua kali bulan ini selepas dipercayai dipukau seorang gadis bertudung merah.

Ibunya, Natrah Shaari, 52, memberitahu, anaknya menghilangkan diri pada 3 Mei dan 12 Mei lalu selepas keluar bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Katanya, dalam kejadian pada 3 Mei lalu itu, anak sulungnya itu hanya pulang ke rumah dua hari kemudian.

“Dia cerita kepada saya bahawa ada seorang wanita muda bertudung merah berusia lingkungan 20-an menegurnya ketika mahu naik lif di HSB kira-kira pukul 6.30 pagi.

“Wanita itu bertindak menepuk dahi anak saya menyebabkan dia tidak sedar. Dia hanya tersedar di dalam kereta di kompleks beli-belah City Square di Sungai Petani dua hari selepas itu dan hilang sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM500,” katanya di sini semalam.

Ujarnya, pada 12 Mei lalu, Mohd. Noor Azam sekali lagi hilang ketika berada di kawasan HSB dan pulang ke rumah semula dua hari kemudian.

nak minyak FREE akhirnya 15 rentung tengah merembat minyak dari lori tangki NATO




PESHAWAR: Sekurang-kurangnya 15 terbunuh apabila lori tangki milik Nato terbakar dan meletup ketika orang ramai leka mengumpul petrol yang tertumpah dari kenderaan terkena bom itu, semalam.

Pegawai pentadbir tempatan, Shafeerullah Wazir, berkata sembilan daripada mangsa adalah satu keluarga yang tinggal berhampiran Landi Kotal, Khyber.

Kejadian itu berlaku beberapa jam selepas Taliban mengebom konvoi konsulat AS yang dalam perjalanan ke Peshawar, kelmarin.

Shafeerullah berkata, lori tangki itu terbakar selepas meletup akibat bom kecil menjelang subuh.

“Pada peringkat awal, kebakaran di lori itu berjaya dipadamkan sebelum ramai penduduk kampung bergegas ke situ untuk mengumpul petrol yang berbaki.

“Tiba-tiba api menyambar sekali lagi dan sekurang-kurangnya 15 orang, termasuk lima budak lelaki, hangus,” katanya.

Minyak petrol itu dikumpul penduduk kampung untuk dijual semula di pasaran terbuka pada harga RM3.60 seliter.

Terdahulu, 11 kenderaan membawa bekalan untuk Nato - kebanyakannya lori tangki minyak - musnah terbakar berhampiran bandar Torkham.

AFP

Friday, May 20, 2011

Maut Digilis Kereta Kerana Kejar Peragut



Padang Besar: “Saya tak sangka niat arwah keluar membeli nasi ayam kegemarannya malam semalam (kelmarin) berakhir tragedi memilukan, malah lebih menyedihkan apabila saya tak sempat bercakap seharian dengannya.”

Gambar: USUNG...jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk dibedah siasat. Gambar kecil, Nur Syaza Yasmin.

Begitu kata Ruslan Ali, 49, apabila anaknya, Nur Syaza Yasmin, 17, terbunuh akibat digilis sebuah kereta selepas terjatuh dari motosikal diboncengnya ketika cuba mengejar seorang lelaki yang cuba meragut beg duitnya di Jalan Kangar-Padang Besar dekat Balai Baru di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah termasuk pecah kepala manakala adiknya, Nur Syaza Norah, 15, yang menunggang motosikal berkenaan hanya cedera ringan.

Ruslan dari Kampung Bukit Keteri berkata, anak kedua daripada empat beradik itu membonceng motosikal yang ditunggangi adiknya dan keluar dari rumah mereka kira-kira jam 7.30 malam.

Menurutnya, dia dimaklumkan mereka sempat mengisi petrol di stesen minyak berhampiran sebelum membungkus nasi ayam kegemaran arwah yang dibeli di Pekan Balai Baru. -hm

Nyawa melayang kejar peragut



ANGGOTA polis mengusung mayat Yasmin yang maut digilis kereta di Jalan Kaki Bukit, Beseri malam kelmarin.

PADANG BESAR – Tindakan berani Nur Syaza Yasmin Ruslan, 17, mengejar penjenayah bermotosikal yang cuba merentap rantai leher adiknya ketika mereka menunggang motosikal berakhir dengan gadis itu maut digilis sebuah kereta di Kilometer 10, Jalan Kaki Bukit, Beseri dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, Yasmin terkorban apabila digilis kereta Proton Gen 2 yang datang dari arah belakang.

Mangsa sebelum itu terjatuh daripada motosikal yang ditungganginya selepas motosikalnya berselisih dengan sebuah Toyota Unser yang dipandu dari arah bertentangan.

Tragedi ngeri itu disaksikan oleh adiknya, Nur Syaza Norah, 15, yang hanya cedera ringan dalam kejadian itu.

Kedua-dua beradik itu belajar di Sekolah Menengah Dato Jaafar Hassan di sini.

Sebelum kejadian, Yasmin yang menunggang motosikal Suzuki Smash bersama Norah keluar dari rumah untuk melihat telefon bimbit di Beseri.

Dalam perjalanan tersebut, mereka didatangi seorang lelaki menunggang motosikal Modenas Kriss yang bertanyakan sesuatu sebelum tiba-tiba rantai leher perak dan kristal yang dipakai Norah cuba diragut.

“Suspek bertanyakan terdapat apa-apa program di Timah Tasoh sebelum lelaki itu terus sentap rantai leher saya.

“Namun lelaki itu gagal menarik rantai leher saya,” kata Norah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Keteri di sini semalam.

Ekoran itu, Norah berkata, kakaknya yang berang dengan tindakan lelaki itu terus memecut mengejar motosikal yang ditunggangi suspek bagi mendapatkan nombor pendaftaran motosikal suspek. -kosmo

ini dia wajah betina yang lahirkan anak haram terminator...!!!



LOS ANGELES - Wajah amah Mildred Baena yang melahirkan anak luar nikah pelakon terkenal yang pernah menjadi gabenor California, Arnold Schwarzenegger disiarkan media kelmarin.

Anak luar nikah itu dilahirkan lima hari selepas anak keempat Schwarzenegger dilahirkan oleh isterinya ketika itu Maria Shriver.

Shriver kini sudah berpisah pada Januari lalu ekoran pengakuan Schwarzenegger mengenai skandal tersebut.

Anak luar nikah itu dilahirkan pada 2 Oktober 1997 seperti yang tercatat dalam dokumen sijil kelahiran.

Shriver, 55, pula melahirkan anak Schwarzenegger, Christopher pada 27 September tahun sama.

Laman web TMZ yang menunjukkan bukti sijil kelahiran anak luar nikah Schwarzenegger dan Baena kelmarin tercatat nama Rogelio Baena sebagai bapa kepada anak tersebut.

Dokumen penceraian yang difailkan oleh Baena dan Rogelio pada Februari 2008 bagaimanapun menyatakan pasangan itu tidak mempunyai cahaya mata.

Identiti anak luar nikah berusia 13 tahun itu kini dilindungi, namun dia dilihat memiliki persamaan dengan Schwarzenegger terutama bahagian mulut dan giginya.

Jiran-jiran menerangkan personaliti remaja tersebut sebagai comel, kelakar dan berwajah tampan, gemar bersukan dan melibatkan diri dalam majlis amal di kawasan rumahnya.

Baena yang bekerja sebagai pembantu rumah di kediaman Schwarzenegger dan Shriver sejak lebih 20 tahun lalu menerima bayaran sebanyak AS$1,200 (RM3,636) setiap minggu.

Dia yang mula menjalin hubungan sulit dengan Schwarzenegger sekitar hujung tahun 1990-an melakukan pelbagai tugas termasuk membersihkan rumah, dobi, memasak dan lain-lain sebelum berhenti kerja pada Januari lalu.

Baena kini tinggal di rumahnya yang dipercayai dihadiahkan oleh Schwarzenegger berharga AS$243,015 (RM736,456) di Bakersfield di utara Los Angeles.

Schwarzenegger mengumumkan perpisahan dengan Shriver minggu lalu selepas mereka mendirikan rumah tangga selama 25 tahun.

Pasangan itu yang berkahwin pada 26 April 1986 di Hyannis, Massachusetts serta mempunyai empat cahaya mata iaitu Katherine, 21, Christina, 19, and Patrick, 17, dan Christopher, 13.

Baena yang berasal dari Guatamala kini menjadi buruan media ekoran skandal sulit Schwarzenegger yang menggegarkan dunia hiburan dan politik Amerika Syarikat.

Agensi

Tak lepas peluang mengalah orang muda...Wanita Warga Emas Ke Tali Gantung Edar Ketamin



Seorang wanita warganegara India berumur 64 tahun dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah mengedar ketamin seberat 2,925 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di Sepang dua tahun lepas.

Hukuman itu diputuskan setelah Hakim Noor Azian Shaari berpuas hati bahawa tertuduh, Fazila Bee Abdul Kareem gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Fazila dikesan membawa ketamin di Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA, kira-kira jam 2.30 petang pada 13 Februari 2009.

Wanita beranak tiga itu didakwa mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Noor Azian berkata tertuduh dalam pembelaannya mendakwa dia datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan kerana berasal daripada keluarga susah.

"Keterangan tertuduh penuh dengan percanggahan, tidak konsisten, lebih kepada rekaan dan difikirkan semula. Saya dapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dan tertuduh didapati bersalah.

"Kalau nak kerja mesti dah tahu tempat mana nak kerja, nama majikan dan ada permit kerja. Tertuduh juga dikatakan berumur 64 tahun tetapi berdasarkan penampilannya, umur tertuduh dilihat lebih daripada 64 tahun, jadi tidak mungkin ada orang yang nak ambil dia bekerja sebagai pembantu rumah.

"Hanya ada satu hukuman sahaja iaitu tertuduh digantung sampai mati," katanya.

Sejurus Noor Azian membacakan keputusannya, Fazila Bee yang memakai t-shirt putih, berseluar sukan dan bertudung hitam tidak menunjukkan sebarang reaksi.

Bagaimanapun, selepas dia keluar dari kandang tertuduh dan diterangkan oleh peguamnya K.A.Ramu mengenai hukuman yang dijatuhkan ke atasnya, Fazila Bee dilihat menangis sambil mengangkat tangan seperti berdoa.

Tertuduh juga dilihat berterusan menangis sambil memegang sehelai tuala kecil dan berdoa ketika diiringi anggota polis keluar dari mahkamah.

Sepanjang perbicaraan, seramai enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan seorang saksi.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya daripada Kastam Diraja Malaysia Nursarah Dina Baharudin yang menyebut bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Naziah Mokhtar.

Thursday, May 19, 2011

ha ha ha....wa rasa mamat nie dapat lesen terbang kot ;...Kereta Terbang Masuk Rumah Orang....!!!!




“Syukur kerana kemalangan ini tidak membabitkan kehilangan nyawa. Selalunya, anak-anak duduk di beranda sebelum mengaji,” kata Sabrina Taib, 36, menceritakan kejadian sebuah kereta terbabas dan melanggar dinding rumahnya di Kampung Parit Melana, Durian Tunggal, dekat sini, petang kelmarin.

Menurutnya, kereta Proton Persona dipandu seorang lelaki itu terbalik dengan empat tayar di atas dan berlaku limpahan petrol sehingga mencetus kebimbangan berlakunya kebakaran.

“Masa itu saya duduk berehat dengan tiga anak saudara di bahagian belakang rumah pusaka itu sambil menonton televisyen kira-kira jam 3.20 petang.

“Tiba-tiba saya dengar dentuman kuat di bahagian depan rumah disusuli bunyi kaca pecah. Mulanya saya terfikir pokok tumbang atau rumah dipecah masuk.

“Disebabkan tidak sedap hati, saya membuka pintu belakang dan berjalan ke hadapan rumah sebelum ternampak sebatang dahan patah, namun tiada pokok tumbang.

“Saya terus berjalan ke depan dan tergamam melihat sebuah kereta terbalik dengan empat tayar di atas di beranda rumah. Sebaik terbau petrol saya terus berlari mendapatkan pertolongan anak saudara untuk mengeluarkan mangsa kemalangan itu,” katanya.

Menurutnya, anak saudaranya yang membantu memberitahu ada petrol melimpah keluar dari kereta berkenaan.

“Kami seperti hilang arah kerana takut sesuatu lebih buruk berlaku iaitu kereta itu meletup sebelum pemandu kereta yang cedera merangkak keluar kira-kira lima minit kemudian dan terus naik ke atas jalan kerana rumah kami berada di bawah tebing di selekoh.

“Kemudian anggota polis tiba diikuti anggota bomba menyembur cecair bagi menghalang limpahan minyak petrol itu,” katanya yang masih terkejut.

Sabrina berkata, dia bersyukur kerana tiada ahli keluarganya atau orang lain mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan itu.

Katanya, kejadian itu kali kedua dan kemalangan pertama berlaku sekitar 1980-an apabila tayar sebuah lori tercabut serta terpelanting ke rumah berkenaan tetapi tidak membabitkan kehilangan nyawa atau kerosakan.

“Setengah jam sebelum kejadian, suami ada bersama pesakit di sebuah bilik di tepi beranda yang rosak teruk. Kebetulan dia (suami) yang juga pengamal perubatan tradisional pergi merawat pesakit di Tampin, Negeri Sembilan.

“Saya anggarkan kerosakan dialami kira-kira RM20,000,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah mengesahkan menerima laporan kemalangan itu ketika dihubungi petang semalam.

Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu terbabit gagal mengawal kenderaannya akibat dipandu laju sebelum terbabas dan melanggar rumah terbabit.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai dan berbahaya hingga menyebabkan kemalangan serta Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas, Akta Pengangkutan Jalan 166/59. -hm

Wednesday, May 18, 2011

elak kena cekup dek JAWI...bekas polis maut terjatuh dari tingkat 16...



Seorang bekas anggota polis maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah hotel di ibu negara ketika cuba mengelak daripada dicekup sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) yang melakukan operasi cegah maksiat di hotel berkenaan awal pagi Selasa.

Ketika cuba melarikan diri melalui tingkap biliknya yang terletak di tingkat 16 hotel itu di mana dia menginap dengan pasangannya, mangsa yang berumur 49 tahun itu terjatuh di beranda tingkat lima bangunan dalam insiden kira-kira 2 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman yang dihubungi hari ini mengklasifikasikan kematian itu sebagai mati mengejut.

Beliau berkata mangsa mati serta-merta di tempat kejadian dipercayai akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Zulkarnain berkata pihak Jawi telah mengambil keterangan daripada pasangan mangsa yang dipercayai janda berumur lingkungan 40-an untuk membantu siasatan dan beliau enggan mendedahkan identiti pasangan terbabit. BERNAMA

Monday, May 16, 2011

Kapal Perang USS Carl Vinson Yang Ini Ke Campak Mayat Osama Laden Ke Laut ?

MANILA: Pegawai Amerika semalam mengalu-alukan kedatangan Presiden Benigno Aquino lll dan pelawat ke atas kapal perang USS Carl Vinson, di mana dari kapal itulah, jenazah pemimpin al-Qaeda Osama bin Laden dicampakkan ke laut.

Aquino yang diiringi anggota kanan kabinet beliau dan ketua staf tentera, diterbangkan ke kapal pengangkut pesawat itu semalam, ketika ia belayar di Laut China Selatan menghala ke Filipina. Sekumpulan wartawan juga diundang untuk melawat kapal seberat 97,000 tan itu dan berbual dengan kelasi ketika ia berlabuh di Manila bersama tiga kapal perang lain bagi memulakan lawatan hormat empat hari di beberapa pelabuhan di Filipina.




Jurucakap Kedutaan Amerika Wossenyelesh Mazengia, memberitahu lebih 24 wartawan yang menaiki feri selama setengah jam menuju ke kapal itu bahawa tiada sesiapa di USS Vinson dibenarkan berbincang sebarang butiran terperinci operasi serangan ke atas Osama bin Laden.

“Saya tidak katakan bahawa anda tidak boleh bertanya. Anda boleh berbuat demikian,” katanya.

Setiausaha Pertahanan, Voltaire Gazmin berkata Aquino dan rombongannya dibawa melawat kapal perang itu dan menyaksikan satu pertunjukan pesawat perang ketika berlepas dan mendarat di atas kapal berkenaan. Satu daripada pesawat itu diterbangkan seorang juruterbang Filipina warga Amerika.






“Pada satu ketika, Aquino duduk di dalam kokpit pesawat perang Super Hornet F/A-18E di hangar kapal, manakala kelasi mengambil beliau. Presiden itu juga bergambar kenangan dengan kelasi Filipina warga Amerika,” kata Gazmin Bagaimanapun beliau berkata, suatu perkara yang ketara, isu pengebumian Osama dari Carl Vinson, 12 hari sebelum itu tidak disentuh langsung, manakala rombongan Aquino juga berpendapat perkara itu tidak perlu ditanya.

“Kami tidak meminta taklimat mengenainya kerana ia terlalu sensitif. Ia adalah satu lawatan persahabatan dan kami ia kekal begitu,” katanya.

Gazmin, seorang jeneral bersara berkata, beliau kagum dan cara serangan komando waktu malam yang membunuh Osama dan menambah, ia menunjukkan kehebatan kuasa tentera Amerika. – AP


Tapi betul ke Osama kena humban ke laut?Ataupun tu semua hanya konspirasi US je..

polis cari duit...????...Mangsa Cedera Parah Dipukul Dengan Cota ...!!!



Gara-gara dituduh merempit, seorang operator pengeluaran sebuah kilang di sini didakwa dibelasah dengan cota oleh seorang anggota polis sehingga cedera semasa terjatuh daripada motosikalnya.

Lebih malang, remaja terbabit dikatakan terjatuh selepas melanggar sebuah motosikal yang turut menjadi mangsa dipukul anggota polis berkenaan dalam kejadian kira-kira 12.30 malam, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Farhan Abdul Malek, 22, berkata, semasa kejadian, dia menunggang motosikal dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Kebaya, di sini untuk ke rumah saudara di Pegoh untuk menziarah sepupunya yang baru sampai dari Kuala Lumpur.

“Semasa dalam perjalanan, tiba-tiba saya dikejutkan dengan satu kon jalan melayang entah dari mana dan mengenai seorang penunggang motosikal di hadapan saya.

“Akibatnya, motosikal dan penunggang berkenaan terjatuh menyebabkan saya juga gagal menekan brek dan terlanggar motosikal berkenaan. Saya juga terjatuh dan terseret atas jalan raya,” katanya.

Bagaimanapun, semasa menahan sakit, katanya, tiba-tiba seorang anggota polis datang dan mengheretnya ke tepi jalan sebelum mengeluarkan kata-kata kesat.

Menurutnya, anggota polis berkenaan menuduhnya merempit dan hendak melanggarnya semasa membuat sekatan jalan raya. sedangkan mangsa langsung tidak menyedari ada sekatan jalan raya memandangkan tiada pengadang diletakkan.

“Jalan berkenaan memang gelap dan saya tidak nampak apa-apa sehingga saya sedar penunggang motosikal di depan saya sehingga menyebabkan kami berlanggar sesama sendiri.

“Apa yang menghairankan saya, polis berkenaan tanpa usul periksa menarik saya ke tepi jalan dan terus memukul saya dengan cota sebanyak empat kali di belakang badan sebelah kiri tanpa menghiraukan kecederaan saya alami.

“Saya juga dituduh mahu merempit sedangkan saya beritahu mereka saya mahu ke rumah sepupu. Saya juga tidak melanggar kesalahan jalan raya kerana lengkap berhelmet dan mempunyai cukai jalan dan lesen memandu yang sah,” katanya.

Dia bagaimanapun dilepaskan kira-kira setengah jam selepas itu sebaik saja merayu kerana sakit dan luka teruk sebelum dihantar polis berkenaan ke Hospital Alor Gajah, di sini untuk rawatan.

“Saya kemudian bersendirian mendaftar di hospital berkenaan sebelum menghubungi sepupu dan bapa saya memaklumkan kejadian berlaku, sebelum dihantar ke Hospital Melaka pagi tadi (semalam) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Malek Enden, 57, berkata, akibat insiden berkenaan anaknya patah tulang rusuk belakang akibat dipukul dengan cota, selain cedera serius di kedua-dua belah tangan dan melecet di belakang badan.

Menurutnya, dia kesal dengan sikap anggota polis itu yang membuat tuduhan dan tindakan melulu terhadap anaknya sehingga menyebabkan kecederaan teruk.

“Sudahlah anak saya dituduh bukan-bukan, polis tersebut juga membuat sekatan jalan dengan cara tidak betul.

“Jika benar mahu membuat sekatan jalan, kenapa dengan peralatan yang tidak lengkap dan hanya dua pegawai sahaja terlibat?

“Tiada sebab untuk anggota polis ini membaling seorang penunggang motosikal dengan kon jalan jika tiada apa-apa kesalahan dilakukan penunggang berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Melaka, semalam.

Abdul Malek juga menjelaskan anaknya tidak pernah terlibat dengan kegiatan rempit.

“Saya masih keliru kenapa anak saya dipukul seolah-olah ada salah faham dan dendam dilepaskan kepada orang yang tak sepatutnya,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Abdul Malek membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah, petang semalam berhubung tindakan keterlaluan anggota polis berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Sariffudin Shaharudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan bapa mangsa.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian tersebut sebelum membuat sebarang tindakan.

Sehingga petang semalam, mangsa masih dirawat di wad D aras empat Hospital Melaka. -SH

Sunday, May 15, 2011

ikut perangai rais yatim atau jarjis menjarjis ke nie....????

Ketua IMF ditahan, didakwa cabul pekerja hotel




Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) Dominique Strauss-Kahn ditahan di New York semalam, berhubung dakwaan serangan seksual ke atas pekerja wanita sebuah hotel, lapor akhbar The New York Times.

Jurucakap Polis New York Paul Browne mengesahkan kepada Reuters, ketua IMF itu ditahan dan sedang disoal siasat berhubung dakwaan seksual.

Akhbar itu melaporkan, Strauss-Kahn (gambar) yang disebut-sebut bakal calon parti Sosialis pemilihan presiden Perancis April depan, ditahan ketika hendak berlepas ke Paris dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di sini.

Strauss-Kahn, 62, didakwa menyebabkan “mencabul” pekerja berusia 32 tahun Hotel Sofitel di West 44th Street dekat Times Square kelmarin.

Beliau menerajui IMF sejak November 2007.

Sebelum itu Strauss-Kahn merupakan anggota Dewan Kebangsaan Perancis dan profesor ekonomi di Institut d’Etudes Politiques de Paris.

Pada Oktober 2008, Strauss-Kahn memohon maaf atas “kesilapan penilaian” yang berkaitan hubungannya dengan pekerja bawahan tetapi menafikan beliau telah salah guna kedudukannya.

Strauss-Kahn telah memohon maaf kepada kakitangannya, wanita yang dia adakan hubungan dan isterinya seorang personaliti televisyen, Anne Sinclair atas masalah itu. — Reuters

Popular Posts

akhbar on line

Your Ad Here