“Bukan sesuatu haram” jika umat Islam menerima bantuan daripada mana-mana penganut agama lain termasuk Kristian sekiranya terpaksa berbuat demikian.
Sikap umat Islam yang enggan menghulurkan bantuan sesama mereka menyebabkan ramai golongan miskin terpaksa bergantung kepada orang bukan Islam.
Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang Muslim menerima bantuan daripada bukan Muslim. Apatah lagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat. Tindakan mereka menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak Muslim yang sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut disalahkan.
Jika dibincangkan di sudut bantuan, pada asasnya kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap untuk memberikan bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu, mana-mana bantuan dibenarkan selagi mengikut peraturan dan undang-undang.
Difahamkan umat Islam yang hadir dalam satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya, Rabu lalu adalah untuk mendapatkan bantuan yang gagal dilaksanakan agensi agama Islam melalui pemberian zakat.
Kemungkinan umat Islam yang hadir itu “terpengaruh” dengan agama Kristan disebabkan sikap baik penganutnya membantu mereka.
Difahamkan bahawa orang-orang Islam yang hadir, terutama ibu-ibu tunggal terdiri dari kalangan mereka yang amat daif dan miskin.
Mereka telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam, tetapi gagal. Apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka mereka rasa ‘jatuh hati’ dan ‘terhutang budi..
Sebagai respons terhadap laporan dua akhbar berbahasa Malaysia hari ini yang mengatakan pihak gereja menawarkan wang tunai, makanan dan tempat tinggal kepada umat Islam.
Akhbar Berita Harian edisi semalam di bawah tajuk “Sogok wang gadai akidah” melaporkan ada pihak yang berselindung disebalik pertubuhan amal dengan menawarkan pelbagai bantuan kepada umat Islam seterusnya meminta mereka keluar daripada agama itu
Selain itu, akhbar tabloid Harian Metro juga mengatakan perkara sama di bawah tajuk di muka depan “Kami diberi Bible versi Melayu.”
Akhbar itu mendakwa penganut Kristian menggunakan “pendekatan lembut” untuk menarik umat Islam.
Kontroversi ini berlaku selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama.
Pada malam Rabu lalu, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis gereja itu tanpa waran kira-kira 10 malam.
Bagaimanapun tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.
Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.
Semua pihak tidak sepatutnya menyalahkan penganut Kristian yang menghulurkan bantuan, sebaliknya persoalan itu ditanya kepada diri sendiri.
Sekiranya wang zakat digunakan secara telus mustahil umat Islam perlu meminta bantuan daripada penganut agama lain.
Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan mereka sehingga tidak perlu meminta ‘sedekah’ kepada orang lain? Mengapa kerenah biokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri. Untuk mendapatkan RM100 hingga RM200 pun, begitu banyak kerenahnya.
Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan juga begitu canggih. Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak? Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada hak untuk golongan mualaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan hal ini, sehingga yang sudah Muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat bantuan daripada umat Islam khususnya zakat?.
Jadi jangan kita bersangka buruk kepada pihak yang bersedia menghulurkan bantuan kepada umat Islam.
Janganlah jika kita gagal membantu sedangkan kita mampu tapi kita menyalahkan orang lain yang membantu. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik kepadanya. Itu fitrah manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan. Mereka yang terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik.
“Namun yang pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama disebabkan layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat Muslim? Sebaliknya mereka terpengaruh dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita selamat ini hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?,..
contohnya seperti di bawah ini...
Nur tiada pilihan
SEREMBAN: “Saya tiada pilihan melainkan menerima bantuan makanan dan wang daripada pihak gereja,” kata seorang wanita mahu dikenali sebagai Nur, 40, yang mendakwa sering mendapat cemuhan segelintir pihak kerana mendapat bantuan daripada gereja untuk menyara kehidupannya sekeluarga.
Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, dia kini tidak dapat bekerja kerana menghidap pelbagai penyakit, terutama asma, kencing manis, darah tinggi dan buasir.
“Saya sedar tidak sepatutnya menerima bantuan daripada gereja, namun saya terdesak kerana memikirkan hidup anak yang mahu bersekolah dan makan. Oleh itu, saya terpaksa mengambil bantuan itu,” katanya ketika ditemui di rumah di Ampangan, di sini, semalam.
Nur yang pernah bekerja sebagai pembantu akaun mendakwa, dia terpaksa berhenti kerana masalah penyakit itu dan pernah beberapa kali pergi ke jabatan berkaitan, namun dicemuh umpama peminta sedekah.
“Saya sedih kerana pihak berkenaan yang sepatutnya membantu enggan melayan saya, sebaliknya saya ditolak ke sana sini hanya kerana bantuan berjumlah RM70.
“Yang membuatkan saya sedih adalah ketika mengenangkan nasib anak yang kadangkala tidak makan, malah yuran tuisyen dan sekolah mereka juga sudah lama tertunggak,” katanya yang reda dengan keadaan itu.
Menceritakan bagaimana dia berjumpa seorang pendakwah gereja, Nur mendakwa, dia disapa oleh wanita berkenaan April tahun lalu ketika dia kesedihan kerana permohonan untuk mendapatkan bantuan tidak berjaya.
“Dia (pendakwah gereja) kemudian menyarankan saya mendapatkan bantuan gereja milik mereka iaitu barang makanan berserta wang tunai.
“Saya tiada pilihan, malah hampir setahun saya menerima bantuan itu. Pihak gereja yang lebih inisiatif untuk tampil membantu nasib wanita seperti saya,” katanya.
Dakwanya, setiap bulan pihak gereja membawa keperluan harian ke rumahnya, malah selalu menghubunginya untuk bertanyakan jika mempunyai masalah lain.
“Saya dan anak turut ditawarkan untuk tinggal di asrama mereka, malah mereka berjanji untuk membantu menyelesaikan yuran tuisyen dan sekolah anak.
“Namun, sampai bila saya dan anak harus mengharapkan bantuan pihak gereja, sedangkan saya beragama Islam,” katanya.
Menurutnya, dia berharap ada sinar di penghujung hidupnya dan anaknya untuk mendapatkan bantuan daripada pihak tertentu.
“Jika mampu bekerja, saya akan cuba menyara hidup ini, namun Allah masih sayangkan kami apabila saya diuji dengan pelbagai ujian hidup,” katanya.-hm
Ia terbukti di dalam kes yang dilampirkan iaitu seorang ibu yang sedang menderita pelbagai penyakit, terpaksa menyara anak seramai empat orang dan disisihkan oleh masyarakat Islam sendiri. Apatah lagi permohonannya untuk mendapatkan dari kerajaan/Baitul-Mal ditolak. Sekarang siapa yang berdosa?
Jika tuan-tuan dan puan-puan mengalami nasib serupanya dan tiada tempat lain untuk mengadu, di saat itu ada pihak yang prihatin menghulurkan bantuan mengapa tidak dibolehkan untuk menerimanya? Sementelah lagi TIADA AKAD menerima bantuan MESTI masuk Kristian.
Mungkin dikhuatiri TERHUTANG BUDI, itu mungkin, TETAPI, sekali lagi kita nak bertanya siapa yang berdosa? Mana umat Islam, mana gerakan dakwah, mana ISMA, mana ABIM, mana UMNO, mana Baitul-Mal, mana Jabatan Kebajikan Masyarakat, mana Berita Harian, mana Utusan, mana harakahdaily, mana UG, mana Hassan Ali, mana JAINS dan JAIS, mana sekalian yang berlagak hero nak pertahankan aqidah umat Islam? Apa yang kamu telah lakukan dan sumbangkan terhadap saudaramu yang menderita itu?
Apa yang nak dijawab di depan Tuhan nanti?
No comments:
Post a Comment