Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyifatkan tindakan polis sebagai ‘gangster’ ketika perhimpunan Bersih 2.0, Sabtu lalu.
Menceritakan detik cemas itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata motosikal yang dinaikinya dirempuh Land Rover polis sehingga menyebabkan beliau tergolek di jalanan.
Beliau yang cedera kemudian dibawa oleh pegawai polis ke Balai Polis Jinjang dan dirujuk ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut.
“Saya dibebaskan selepas membuat pemeriksaan di klinik. Tapi disebabkan kaki kanan saya tidak pulih hari ini saya buat pemeriksaan di Selangor Medical Centre. Doktor kata ligamen saya koyak dan pembedahan untuk memasukkan besi akan dibuat pada Jumaat ini.
“Ini hanyalah pengalaman peribadi tapi paling mustahak polis jadi gangster. Bukan jaga keamanan negara tetapi jaga pemerintahan kerajaan dan Umno,” katanya yang berkerusi roda dan cedera di lutut kanan dalam sidang media di Dewan Annex ketika sidang Dewan Undangan Negeri Selangor berhenti rehat.
Mat Sabu menyifatkan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan regim yang zalim.
Beliau berkata , NGO Bersih akan bermesyuarat untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Najib berbohong
“Kami minta stadium dia (Najib) tak bagi. Najib berbohong…Beliau tidak layak memimpin rakyat, dia hanya layak jadi suami Rosmah.
“Bersih akan bermesyuarat untuk tindakan undang-undang. Esok saya akan buat laporan dan serah kepada peguam untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.
Seorang lagi mangsa yang juga ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad turut cedera di kepala dan menerima enam jahitan akibat insiden itu mendakwa wujud skrip untuk menggambarkan orang Melayu dan PAS adalah bodoh.
“Yang ditahan pemimpin-pemimpin PAS-Ustaz Hadi, Mahfuz, Salahuddin… sedangkan Lim Kit Siang di depan. Tapi mereka buta dan tidak tangkap. Ada rancangan yang menggambarkan orang Melayu bodoh dan digunakan DAP.
“Rasa pihak polis seolah-olah memainkan peranan yang ditetapkan Umno,” dakwa beliau.
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pula menggesa mangsa-mangsa untuk tampil bertemu sekretariat Bersih mahupun pihak Pakatan untuk mengumpul bukti keganasan polis pada perhimpunan Bersih tersebut.
Azmin mendakwa ramai yang dipukul dan diseksa polis, malah Pakatan katanya akan menghubungi media antarabangsa seperti Al-Jazeera untuk mengumpul bukti keganasan polis.
No comments:
Post a Comment