Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di pohon agar meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menimbangkan lapan tuntutan dibuat rakyat melalui Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Kepincangan yang berlaku dalam proses demokrasi yang terpenting dalam negara iaitu pilihan raya telah menyebabkan rakyat tidak puas hati dan menuntut perubahan, semua tuntutan itu tertera di bawah lapan tuntutan yang dibawa Bersih.
Kita berpendirian Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menerima aduan rakyat dan dan mengarahkan Perdana Menteri untuk menimbangkan permintaan rakyat yang sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri..
Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk menerima rayuan rakyat dan rakyat berhak menyampaikan hasrat kepada ketua negara.Keresahan rakyat mengenai pelbagai hal yang sedang berlaku dalam negara adalah alasan kukuh untuk tuntutan perubahan segera dilakukan.
Bukan sahaja salah guna kuasa dan penyelewengan sangat berleluasa dilakukan oleh pihak yang meneraju kerajaan Persekutuan malah pelbagai fungsi agensi pemerintah telah dieskploitasi untuk kepentingan politik bagi mengekalkan kuasa...
Kelmarin Yang di-Pertuan Agong bertitah agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.
Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan “yang pentingnya.”
Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik,” titah baginda.
Malah Tuanku Mizan bertitah rakyat harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang.
Lapan tuntutan Bersih adalah agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakkan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.
Justeru kita berpendirian bahawa rakyat berhak berhimpun secara aman dan menyatakan pendapat terhadap apa-apa isu termasuk penyelewengan dan ketidakadilan yang berlaku.
Rakyat merasa sangat tidak berpuashati dengan cara pihak polis bertindak atas nama keselamatan dan kestabilan. Ugutan dan penahanan yang tidak adil menggambarkan seolah-olah polis bertindak untuk pihak parti politik yang memerintah dan bukan untuk menjaga keselamatan orang awam.
Malah apa yang berlaku ialah tindakan yang keterlaluan bila hanya kerana memakai baju Bersih 2.0 oleh sesiapa dianggap suatu kesalahan. Apakah ini suatu tindakan profesional dan dan matang?
Sepatutnya polis membantu Bersih untuk menyediakan laluan ke Istana Negara menjelang Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu ini bukan menentang program itu.
Iaitu pihak polis berunding untuk membenarkan jalan mana perhimpunan Bersih 2.0 boleh diadakan, dari jam berapa hingga jam berapa dan cara penyerahan memorandum di Istana Negara. Sementara itu pihak Bersih mematuhi semua arahan polis sehingga perhimpunan itu selesai.
Dengan cara ini ketegangan, tangkapan, ugutan dan kecaman antara satu sama lain dapat dihentikan. Kita juga menyatakan kekesalan terhadap masjid turut diguna untuk menyebarkan rasa ketakutan kepada rakyat untuk menyatakan sikap yang benar. Khutbah diseluruh Negara telah diguna untuk tujuan menyebar rasa benci kepada usaha rakyat untuk menyatakan yang haq mengikut saluran yang sah di sisi undang-undang..
No comments:
Post a Comment