cari maklumat di sini

Your Ad Here

Sunday, February 13, 2011

Nak rakyat doakan Polis dan Penguatkuasa mampos....!!!!

Kafe siber, bersepah-sepah sekarang. Ada yang dijadikan pusat judi. Yang rugi BANGSA MELAYU REMAJA SEKOLAH LAGI. YANG UNTUNG....... Adakah Pihak Polis dan Pihak Penguatkuasa Berkuasa Tempatan TAK NAMPAK? Jangan sampai rakyat, terutamanya jemaah surau dan masjid doakan sesuatu untuk mereka ini!





IKAT PERUT KERANA KAFE SIBER
Sinar Harian 13 Feb 2011

SEREMBAN - Kewujudan kafe siber banyak memberi manfaat kepada masyarakat dalam menghambat perkembangan pesat era teknologi maklumat dan komunikasi kini agar tidak ketinggalan dek arus pembangunan.

Namun, ia mengundang gegala serius apabila ada dalam kalangan pelajar yang menghabiskan masa mereka di kafe siber sebaik sahaja pulang dari sekolah. Malah, ada juga yang sanggup mengikat perut semata-mata mahu ke kafe siber menggunakan wang perbelanjaan sekolah yang diberi ibu bapa akibat ketagihan untuk melayari laman sesawang di Internet seperti permainan video, facebook, youtube dan tidak kurang juga melayari laman web lucah.

Tinjauan Sinar Harian di dua lokasi berbeza di daerah ini mendapati sebaik sahaja tepat jam 1.30 petang, kafe siber yang lokasinya berhampiran sekolah mula menjadi tumpuan pelajar khususnya lelaki yang akan menanggalkan pakaian sekolah mereka terlebih dahulu sebelum memasuki premis berkenaan.

Manakala pada waktu petang, kafe siber berhampiran kawasan perumahan menjadi tumpuan pelajar lingkungan usia 7 tahun hingga 13 tahun untuk bermain permainan video Internet antara dua hingga tiga jam.

Seorang aktivis sosial, Hamidon Abd Samad berkata, kunjungan pelajar ke kafe siber kini dilihat sudah menjadi budaya yang boleh mengundang kepada berlakunya masalah sosial membimbangkan kerana terpengaruh dengan maklumat yang diperoleh menerusi Internet.

Menurutnya, mereka sanggup menghabiskan masa berjam lamanya dengan melayari laman web yang diminati di kafe siber terutamanya ketika cuti sekolah dan selepas tamat musim peperiksaan. "Kafe siber ini ada pro dan kontranya. Pelajar sekarang perlu tahu menggunakan teknologi maklumat yang tersedia hari ini. "

Apa yang menjadi masalah apabila mereka melayari laman web yang tidak berfaedah dan sanggup menghabiskan duit sebegitu sahaja," katanya. Menurutnya lagi, dia pernah bertanya kepada pelajar sekolah mengenai apa yang mereka lakukan di kafe siber dan tanpa segan silu mereka menjawab; laman lucah.

"Pada hari ini semakin ramai golongan mudah ketagih dengan kafe siber dan lebih parah lagi apabila mereka menjadikannya sebagai lokasi ketagihan melayari laman lucah yang dilihat bersama rakan," katanya. Selain itu katanya, peraturan berkaitan dengan pengawalannya, terutamanya ke atas lokasi operasi kafe siber dan penguatkuasaan mesti diperketat dalam memastikan gejala sosial dapat dielakkan.

"Kafe siber tidak seharusnya berada di lokasi yang berdekatan dengan sekolah kerana akan menjadi tempat ‘lepak' para pelajar sebelum pulang ke rumah.

"Memanglah jika kafe siber tiada berhampiran sekolah mereka boleh pergi ke tempat lain. Tapi sekurangnya inilah usaha kita untuk mengekang kepada berlakunya masalah sosial yang kadang-kala dil uar jangkaan," katanya.

Seorang pemilik kafe siber, Amer Hanafie mengakui sememangnya rata-rata yang mereka mengunjungi premisnya terdiri daripada golongan muda yang tinggal di kawasan berhampiran. Menurutnya, kehadiran mereka kebiasaannya mahu bermain permainan video menerusi Internet dalam jangka waktu satu atau dua jam.

"Ada juga yang bermain permainan video ini sehingga empat jam tanpa henti dan ada juga yang sudah pulang tetapi datang kembali kerana masih tidak puas melayari permainan video Internet. "Walau bagaimanapun, saya tidak membenarkan mereka yang berpakaian sekolah masuk ke sini kerana ia adalah arahan pihak berkuasa yang perlu dipatuhi," katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut, Sinar Harian turut bertanya seorang pengunjung remaja yang dilihat leka bermain permainan video Internet. Pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Daniel, 16, berkata, dia sanggup tidak makan tengah hari semata-mata mahu menjimatkan wang perbelanjaan sekolah untuk bermain permainan video Internet di kafe siber.

"Saya menghabiskan hampir RM5 sehari untuk melayari Internet selepas waktu persekolahan dan sudah menjadi rutin saya ke sini dengan kawan. "Sekiranya pulang lewat pulang ke rumah, saya memberitahu ibu bapa adanya kelas tambahan dan aktiviti kokurikulum di sekolah," katanya.

Warga emas, Abd Khalid Mohd, 62, berkata, ibu bapa sepatutnya bersikap lebih prihatin dengan memantau aktiviti anak mereka di kafe siber dan bukannya memberi sepenuh kepercayaan kepada mereka. Menurutnya, dalam keadaan persekitaran hari ini yang semakin mencabar, pelbagai kemungkinan boleh berlaku yang kadang-kala di luar pemikiran.

"Banyak faktor yang menyebabkan berlakunya gegala sosial ini dan salah satunya dengan kewujudan Internet tambahan pula kini di mana-mana sahaja kita boleh melayari Internet sama ada di kafe siber, rumah mahupun melalui telefon bimbit. "Oleh sebab itu ibu bapa berperanan penting untuk mengawal aktiviti anak. Kita tidak boleh mengubah keadaan persekitaran, tetapi kita yang perlu mengubah corak dalam mendidik anak," katanya.

Sumber: Sinar Harian"

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

akhbar on line

Your Ad Here