cari maklumat di sini

Your Ad Here

Sunday, May 1, 2011

Hari Pekerja: 18 ditahan anjing anti demokrasi, antaranya MP Sg Siput



Polis menahan 18 individu dalam perhimpunan sempena Hari Pekerja bagi membantah kenaikan harga barang dan menuntut Akta Gaji Minimum dilaksanakan, di sekitar Maju Junction dan Jalan Chow Kit di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Ibrahim berkata, mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Akta Polis kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

“Mereka ditahan untuk sementara waktu bagi merekodkan keterangan,” katanya dipetik Bernama.

Laporan The Star Online menyebut antara yang ditahan ialah Ahli Parlimen Sungai Siput D. Jeyakumar.

Perhimpunan bermula pukul 10.30 pagi disertai hampir 500 pekerja swasta daripada 75 syarikat pelbagai perkhidmatan.

Rata-rata mereka hadir dengan memakai baju berwarna merah dan membawa sepanduk serta kain rentang tertera “kami mahu hak kami”, “gaji minimum”, “harga barang naik, tapi gaji masih minimum” dan sebagainya.

Suasana pada mulanya terkawal apabila mereka berjalan dari Jalan Chow Kit ke Maju Junction menjadi kecoh apabila mereka yang berhimpun tidak berpuas hati dengan penahanan beberapa rakan mereka, dipercayai ingkar arahan polis supaya bersurai.

Mereka kemudian duduk di pekarangan Menara Tabung Haji sambil membaca protes dan ada yang menyanyikan lagu menuntut hak pekerja.

Selepas selesai melaungkan hak mereka, seorang lelaki dilihat menyampaikan kertas “deklarasi satu Mei 2011” kepada Pesuruhjaya Suhakam James Nagayam, yang berada di lokasi perhimpunan, lapor Bernama.

Nagayam ketika ditemui berkata tuntutan itu akan dibawa ke pihak berkaitan.

Kesemua yang berhimpun bersurai kira-kira pukul 12 tengah hari.

Dalam pada itu, laporan Bernama Online menyebut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengulangi desakan supaya kerajaan segera melaksanakan enam tuntutan yang diperjuangkan mereka selama ini.

Naib Presiden MTUC, A. Balasubramaniam, berkata, tuntutan itu ialah penetapan gaji minimum RM900 sebulan, mengurangkan waktu bekerja kepada 40 jam daripada 48 jam seminggu dan penetapan usia tamat tempoh perkhidmatan kepada 60 tahun.

MTUC juga menuntut supaya kerajaan memberikan faedah persaraan yang dikira berdasarkan kepada sebulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan pekerja, menghapuskan sistem kerja kontrak dan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat termasuk menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.

“Sempena sambutan Hari Pekerja ini, kita minta kerajaan dapat mengambil tindakan segera (terhadap tuntutan ini). Janganlah dilengah-lengahkan terutama mengenai pelaksanaan gaji minimum.

“Ini kerana berdasarkan statistik kerajaan, masih terdapat sebanyak 34 peratus daripada pekerja menerima gaji rendah iaitu di bawah garis kemiskinan,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan Hari Pekerja anjuran MTUC bahagian Selangor dan Wilayah Persekutuan di Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir ialah bekas Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud dan Pengerusi MTUC Selangor dan Wilayah Persekutuan N. Gopal Kishnam.

Balasubramaniam berkata MTUC juga meminta kerajaan mengurangkan pengambilan pekerja asing sebaliknya memberi peluang kepada pekerja tempatan untuk menceburi sektor swasta terutama dalam sektor perkilangan.

“Kita (MTUC) ada terima aduan daripada kesatuan yang menyifatkan majikan mengamalkan diskriminasi terhadap pekerja tempatan dan mengutamakan pekerja asing,” katanya.

Beliau juga berkata hanya sembilan peratus daripada pekerja di negara ini yang menyertai kesatuan pekerja.

“Setakat ini jumlah ahli adalah seramai hampir 620,000 orang dari 272 kesatuan, namun yang aktif adalah seramai 530,000 orang,” katanya yang turut meminta majikan menganggap kesatuan adalah rakan kepada syarikat dan bukannya sebagai beban.

Kira-kira 400 orang yang mewakili pelbagai kesatuan sekerja menghadiri perhimpunan berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

akhbar on line

Your Ad Here