Thailand berterusan menerima dugaan yang turut dilihat sebagai ujian terbesar untuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawtra apabila pihak berkuasa mengeluarkan amaran ribuan buaya kini berkeliaran di dalam air banjir di pinggir Bangkok.
Amaran itu dikeluarkan semasa penduduk diminta bersedia untuk menghadapi banjir berterusan dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Kebanyakan buaya air tawar tersebut dipercayai terlepas dari taman hidupan liar selepas sangkar haiwan reptilia itu ditenggelami air.
Kerajaan turut menawarkan ganjaran untuk menangkap kesemua buaya tersebut tetapi pegawai taman hidupan haiwan memaklumkan mustahil untuk mengawal pergerakan haiwan itu jika banjir semakin buruk.
Sementara itu, Yingluck turut mengumumkan penghalang banjir dan pintu air sebagai zon larangan bagi menghentikan gangguan penduduk yang tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menangani masalah tersebut.
Pihak berkuasa dan pegawai pentadbiran tempatan juga diberikan kuasa untuk meruntuhkan sebarang struktur yang menghalang operasi kawalan bencana itu.
sinar harian
No comments:
Post a Comment