Seorang wanita warga emas memiliki hobi pelik apabila sanggup menjadikan rumahnya sebagai tempat menyimpan pelbagai jenis sampah yang dikutip setiap hari selain makan dan tidur di situ sejak 10 tahun lalu.
Sehingga kini, wanita berusia 60-an itu hidup dikelilingi sampah-sarap seberat 24 tan dan hobinya itu dipercayai bermula selepas suaminya meninggal dunia menyebabkan dia ketandusan kasih sayang serta sunyi hidup bersendirian selepas anaknya tinggal berjauhan.
Ekoran sifat peliknya itu, jiran di kawasan sekitar itu membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) supaya mengambil tindakan berikutan tidak tahan dengan bau busuk dari rumahnya.
Ahli Majlis Zon 14 MBPJ, R Selvarajan berkata, bertindak selepas menerima aduan orang ramai, seramai 50 kakitangan MBPJ diketuai beliau sendiri ke rumah terbabit dan mendapati hampir setiap sudut kediaman berkenaan dipenuhi sampah.
“Ini kes pertama di kawasan ini. Agak mengejutkan melihat rumahnya yang dipenuhi pelbagai jenis botol, plastik, kayu dan pelbagai sampah-sarap lain.
“Lapan lori terpaksa digunakan untuk mengeluarkan sebanyak 24 tan sampah dari rumah terbabit selepas dibersihkan,” katanya selepas operasi berkenaan, semalam.
Operasi bermula jam 8.30 pagi itu turut disertai anggota polis Petaling Jaya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor. Selvarajan berkata, bagi kesalahan itu, denda dikenakan ke atas wanita terbabit berikutan kesalahan membiarkan pembiakan nyamuk aedes.
Menurutnya, setiap hari seawal jam 4 pagi, warga emas itu akan keluar mengayuh basikal untuk mengutip sampah sebelum membawa pulang pada sebelah malam.
“Menurut jirannya, wanita itu tidak mempunyai masalah kewangan untuk menyara hidup kerana anaknya selalu memberikan wang selain mempunyai beberapa rumah sewa,” katanya.
“Tetapi, disebabkan dia hidup berseorangan dan tidak tahu berbuat apa-apa, dia bertindak sedemikian,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan merujuk wanita berkenaan di hospital bagi mengenal pasti sama ada dia mempunyai masalah mental atau tidak.
No comments:
Post a Comment