HASRAT untuk menyaksikan pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei merangkul trofi kejuaraan ketujuh tahun ini tidak kesampaian apabila tewas pada final Terbuka Jepun di tangan Cheng Long dari China, semalam.
Dia yang dikatakan mengalami kecederaan ringan di bahu, tewas kepada pemain ranking keempat dunia itu dalam pertarungan tiga set 8-21, 21-10, 19-21 yang mengambil masa 1 jam 13 minit.
Kekalahan itu memberi petanda baru buat pemain nombor satu dunia bahawa bukan saja Lin Dan yang mampu memusnahkan impian emas Sukan Olimpik malah dia perlu lebih berwaspada kepada lawan lain dari Tembok Besar China mungkin sekali lagi akan memusnahkan impian memburu emas buat kali terakhir di Olimpik.
Bagi jurulatih, Tey Seu Bock, kecederaan Chong Wei itu bukanlah menjadi punca kekalahannya kepada pemain muda China itu namun mengakui kelebihan memihak kepada Cheng Long selepas tidak beraksi di peringkat separuh akhir kelmarin berikutan drama yang dicetuskan oleh jaguh China, Lin Dan yang menarik diri.
“Saya akui Cheng Long bermain dengan bagus hari ini (semalam) terutama apabila dapat membaca semua pergerakan Chong Wei di set pertama sehingga mengakibatkan dia gagal mengatasi lawan dan mula hilang fokus,” katanya ketika mengulas kekalahan di set pertama, 8-21.
Bangkit di set kedua, Chong Wei mula menemui rentak untuk menang dan mengajak lawan beraksi di set penentuan yang akhirnya terpaksa akur dengan kekalahannya itu. “Mungkin kelebihan memihak kepada Cheng Long. Dia dilihat begitu bersedia sebelum turun menentang Chong Wei dan kelihatan bertenaga di perlawanan akhir kerana tidak turun sebelum ini.” Biarpun tewas, rekod pertemuan masih lagi memihak kepada Chong Wei yang menang empat dari enam pertemuan selepas menang Terbuka Indonesia dalam pertemuan straight set Jun lalu.
No comments:
Post a Comment