MEMORI. Gelagat lucu Zami bersama anaknya, Mohd. Hitler dalam satu sesi fotografi bersama media baru-baru ini.
SAMBUTAN Hari Bapa tahun ini pastinya tidak bermakna buat ahli keluarga pelakon komedi terkenal, Zami Ismail, 67, apabila lelaki kesayangan mereka itu pergi meninggalkan mereka akibat serangan jantung semalam.
Sememangnya umum mengetahui tahap kesihatan figura yang yang cukup sinonim dengan gelaran Pak Uda itu agak menurun sejak akhir-akhir ini, namun pemergiannya itu merupakan satu kejutan dan kehilangan besar buat industri hiburan tempatan.
Menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang mula bersiaran sejak 27 tahun yang lalu, arwah cukup berjaya menghidupkan karakter Pak Uda.
Malah diakui, nama Zami lebih sebati dengan panggilan Pak Uda gara-gara sitkom tersebut.
Anak kelahiran Tapah Road, Perak itu memulakan kariernya sebagai seorang pelakon teater kira-kira 49 tahun yang lalu bersama Badan Budaya Ipoh.
Pada tahun 1973 menerusi teater Pertemuan Dua Roh yang diarah dan ditulis sendiri olehnya, arwah telah diangkat sebagai Pelakon Teater Terbaik.
Namun, nama arwah hanya mula popular setelah menjadi salah satu tunjang utama Pi Mai Pi Mai Tang Tu arahan Othman Hafsham pada tahun 1984.
Biarpun sudah berlakon puluhan drama serta filem sepanjang kerjayanya itu, namun Zami masih lagi menjadi antara pelakon veteran yang terus bertahan dan diminati sehingga sekarang.
Menurut salah seorang anaknya, Ahmad Yamashita, 38, ketika ditemui berkata, beberapa minggu sebelum meninggal dunia, arwah ayahnya itu sedang menjalani penggambaran drama di Pekan Hulu Langat, Selangor.
SITKOM Pi Mai Pi Mai Tang Tu menaikkan nama Zami Ismail untuk kekal diingati sebagai Pak Uda sampai bila-bila.
“Ketika menjalani penggambaran, arwah ayah ada mengadu sakit dan kemudian dia terus dibawa ke Hospital Ampang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. “Selama dua minggu arwah ayah dimasukkan ke hospital berkenaan, pihak hospital kemudian meminta kami supaya membawanya mendapatkan rawatan lanjut ke Institut Jantung Negara (IJN),” ujarnya. Menurutnya lagi, ketika menjalani pemeriksaan di IJN, doktor mendapati keadaan jantung arwah ayahnya berada dalama keadaan yang cukup lemah. Lebih memburukkan lagi keadaan katanya apabila Zami turut menghidap penyakit kencing manis sehingga menyebabkan pembedahan jantung ke atasnya terpaksa ditangguhkan sementara. Bagaimanapun, usianya tidak panjang apabila dia menghembuskan nafas terakhir dan disahkan meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi semalam selepas seminggu berada di IJN. Selain Ahmad Yamashita, arwah meninggalkan seorang isteri, Hanizan Ibrahim, 58, serta sembilan orang anak iaitu Mohd. Hitler, 39; Mohd. Soupi, 37; Ismail Fahmi, 36; Khairul Affendi, 30; Aida Nurul Ashikin, 29; Aida Nurul Wahyu, 27; Mohd. Firdaus, 24, dan Zahid Bahoqman, 21. Pelakon berkaliber Selain terkenal dengan watak Pak Uda, ternyata arwah juga turut dikenali sebagai Pak Abu dalam dua filem arahan Mamat Khalid iaitu Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Ketika dihubungi semalam, Mamat meluahkan rasa sedihnya.
“Arwah memang seorang pelakon yang cukup berkaliber dan dialah yang banyak bertanggungjawab dalam mencorakkan gaya pengarahan saya dalam bidang komedi. “Sebagai seorang pelakon yang cukup berpengalaman, banyak perkara yang saya pelajari daripadanya dan sememangnya kebanyakan pelakon baharu sangat menghormatinya,” ucapnya. Menurut Mamat, kali terakhir dia dan arwah bekerjasama adalah menerusi filem Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit yang sudahpun selesai menjalani penggambaran beberapa bulan lalu. Sewaktu penggambaran filem itu, kata Mamat, dia sendiri sudah melihat keadaan arwah yang sudah tidak sihat dan selalu mengalami semput ketika berlakon. “Arwah memang seorang pelakon yang begitu komited dengan kerjanya. ‘Malah, dia tidak kisah untuk berlakon pada bila-bila masa dan akan melakukan dengan sebaik mungkin. “Walaupun saya ada beri kelonggaran kepadanya seperti mengurangkan beberapa babak yang melibatkannya, tetapi dia tetap berkeras untuk terus melakukannya kerana mahu mengikut kehendak skrip,” ceritanya lagi. Sementara Othman pula menganggap arwah sebagai tunjang kepada kejayaan Pi Mai Pi Mai Tang Tu. “Biarpun pada asalnya semua yang terbabit dalam sitkom itu bukanlah pelakon komedi, namun mereka semua termasuk Pak Uda dapat membawakan watak masing-masing dengan baik. “Malah, boleh saya katakan bahawa watak Pak Uda juga adalah tunjang kepada kejayaan sitkom berkenaan sehingga menjadi antara rancangan komedi yang paling lama bertahan,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment