cari maklumat di sini

Your Ad Here

Monday, December 20, 2010

Banjir Mula Melanda Terengganu

Kemaman dilanda banjir, 700 mangsa dipindah



BALAI Polis Kerteh, Kemaman turut dinaiki air banjir semalam.

KEMAMAN - Hampir 700 orang dari Kampung Baru dan Kampung Chabang Kerteh di sini dipindahkan setakat ini setelah kawasan mereka dinaiki air sedalam hampir satu meter ekoran hujan lebat sejak dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdullah Sani Salat berkata, jumlah penduduk yang dipindahkan adalah setakat pukul 10 malam tadi ke lima pusat pemindahan.

Katanya, antara pusat pemindahan yang dibuka adalah di Dewan Orang Ramai Pekan Kerteh dan balai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Chabang.

"Kesemua mangsa dipindahkan sejak pukul 1 petang tadi (semalam) ekoran rumah mereka ditenggelami air setinggi antara 0.5 meter dan satu meter," katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, turut dinaiki air adalah Balai Polis Kerteh dan enam buah perumahan polis di situ sedalam hampir satu meter sejak pukul 2 petang semalam.

"Bagaimanapun operasi di balai tetap berjalan seperti biasa dan semua anggota sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan air banjir semakin naik," katanya.

Abdullah berkata, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kilometer 116 berhampiran Pekan Kerteh juga ditutup kepada kenderaan ringan setelah ditenggelami air hampir satu meter sejauh 500 meter.

"Paras air Sungai Kerteh juga dilaporkan sedang naik dan kemungkinan terdapat beberapa batang jalan lagi akan turut terjejas dan ditutup kepada kenderaan ringan seperti Jalan Kerteh ke Batu Putih dan jalan ke Lapangan Terbang Kerteh," katanya.

Menurut Abdullah, ekoran air sungai yang semakin naik, kemungkinan lebih ramai penduduk akan dipindahkan khususnya membabitkan kawasan perumahan rendah dan berhampiran sungai seperti Kampung Chabang dan Labohan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasek, Ir. Rosli Othman yang membuat tinjauan ke kawasan terlibat banjir berkata, Pejabat Khidmat Masyarakat Kemasek membuka sebuah bilik gerakan banjir di Dewan Sivik Pekan Kemasek bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir.

"Kita menjangkakan kemungkinan air semakin naik ekoran akan berlaku air laut pasang besar bermula petang tadi (semalam) selama dua hari dan kami telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir lebih besar dan pemindahan lebih ramai penduduk," katanya.

Rosli berkata, segala persiapan seperti bot, bekalan makanan dan segala keperluan berkaitan telah disediakan dan meminta penduduk yang tinggal di kawasan rendah bersiap sedia untuk dipindahkan dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.

"Semua agensi yang berkaitan termasuk pihak berkuasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.




Sementara itu seramai 733 penduduk empat kampung di Kerteh dan Kemasek, Kemaman dipindahkan apabila kawasan kediaman mereka dilanda banjir sedalam hampir satu meter berikutan hujan lebat sejak dua hari lalu.

Setakat jam 10 malam semalam, 98 mangsa dari Kampung Baru Kerteh dan Kampung Chabang Kerteh masing-masing dipindahkan ke dewan orang ramai Pekan Kerteh, Balai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Chabang, Kerteh.
Selain itu, Sekolah Kebangsaan Kemasek menempatkan 546 mangsa diikuti Kampung Gong Cengal Kemasek (39) dan Kampung Kukuran, Kemasek (50).

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, semua mangsa dipindahkan sejak jam dua petang semalam apabila hujan lebat tidak berhenti-henti termasuk jalan raya di Pekan Kerteh dinaiki air sedalam 0.6 meter.

Katanya, selain itu Balai Polis Kerteh dan enam kuarters perumahan polis di situ turut ditenggelami air juga sedalam hampir satu meter sejak jam dua petang semalam.

“Walaupun balai kini ditenggelami banjir sehingga paras lutut, operasi di balai tetap berjalan seperti biasa dan semua anggota sudah diarahkan untuk bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika banjir semakin besar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdullah Sani berkata, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kilometer 116 iaitu di lorong menghala ke Kuantan berhampiran pekan Kerteh juga ditenggelami air sedalam hampir satu meter sepanjang 500 meter manakala Jalan Kerteh ke Batu Putih dan ke Lapangan Terbang Kerteh dinaiki air tetapi masih boleh dilalui kenderaan ringan.

Katanya, di Kilometer 115 juga jalan yang sama di lorong menghala ke Kuala Terengganu mengalami mendapan sedalam dua meter yang juga membabitkan seluas dua meter.

Bagaimanapun, katanya jika hujan lebat berterusan sehingga lewat malam, kemungkinan beberapa batang jalan lagi di sekitar pekan ini turut terjejas atau pun terpaksa ditutup kepada kenderaan ringan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasek, Rosli Othman yang membuat tinjauan ke kawasan terjejas dengan banjir itu berkata, Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Kemasek membuka bilik gerakan banjir di Dewan Sivik Pekan Kemasek bagi menyalurkan bantuan.

Katanya, segala persiapan seperti bot, bekalan makanan dan keperluan lain untuk mangsa banjir sudah disediakan.

Sementara itu, Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika dihubungi, berkata sehingga jam 6 petang ini semua paras air sungai utama di negeri ini masih lagi berada pada paras biasa.

“Sehingga kini, satu bilik gerakan banjir di daerah Kemaman saja dibuka bagi membantu penduduk yang terjejas dengan kejadian banjir khususnya di kawasan terjejas di pekan Kerteh sekarang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

akhbar on line

Your Ad Here