cari maklumat di sini

Your Ad Here

Wednesday, May 19, 2010

LALOK DENGAN GAM BAWA PADAH....TAK SEDAR RAGUT DEKAT BALAI POLIS....

SUBANG JAYA: Bagaikan mengundang bala, seorang peragut tersilap langkah apabila berlagak berani cuba meragut beg tangan seorang wanita di hadapan dua anggota polis.

Lebih mengejutkan apabila suspek langsung tidak menyedari tempat mangsa yang diragut hanya kira-kira 50 meter dari Balai Polis Taipan di Jalan US10/1D di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, suspek berusia 24 tahun yang dipercayai khayal selepas menghidu gam cuba melarikan beg tangan mangsa yang berhenti di kaki lima berhampiran hadapan sebuah butik pakaian.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 53, ketika ditemui berkata dia yang baru selesai makan tengah hari di sebuah kedai makan berhampiran berhenti di hadapan butik berkenaan untuk melihat pakaian di situ.

Katanya, ketika leka melihat pakaian dalam butik itu, tiba-tiba dia terasa beg tangannya ditarik seseorang dari belakang dengan kuat menyebabkan dia terjatuh.

“Saya yang kesakitan segera memeluk beg tangan saya sambil menjerit meminta tolong menyebabkan suspek panik lalu melarikan diri.

“Pada masa sama, dua anggota polis di balai bersebelahan butik itu ternampak perbuatan suspek lalu segera mengejarnya,” katanya.

Lim berkata, tindakan pantas anggota polis berkenaan berjaya menangkap suspek selepas mengejarnya kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

“Dua anggota polis itu bertindak pantas hingga peragut terbabit tidak sempat memboloskan diri. Saya amat berterima kasih kepada mereka kerana menyelamatkan saya daripada penjenayah terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Beliau berkata, suspek kini direman empat hari mulai semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut mendapati suspek seorang pekerja kilang berhampiran. Suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau membabitkan kesalahan mencuri dalam bangunan dua tahun lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

akhbar on line

Your Ad Here