Hasrat seorang pemandu untuk memulakan perniagaan menjual burger bagi menambah pendapatan tidak kesampaian apabila dia ditangkap polis kerana mencuri kuali burger milik seorang peniaga di tapak niaga berhampiran sebuah pasar raya, Batu 6, Jalan Gambang dekat sini, 21 November lalu.
Hairul Azhar Hamzah, 29 dari Indera Mahkota di sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam bagi menghadapi tuduhan mencuri mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dia mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.
Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah dalam keputusannya mengarahkan tertuduh membayar denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Tertuduh yang juga bapa kepada seorang anak didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira-jam 9.10 pagi 21 November lalu.
Nasib tertuduh tidak baik kerana perbuatannya disedari pemilik gerai yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian.
Berdasarkan fakta kes, peniaga terbabit ternampak sebuah kereta Perodua Kancil berwarna perak diletakkan berhampiran gerainya.
Pada masa yang sama, dia ternampak seorang lelaki (tertuduh) sedang mengangkat kuali burgernya dan dimasukkan ke dalam bonet kereta tersebut.
Peniaga berusia 36 tahun mendekati tertuduh lalu bertanya berhubung tindakan lelaki itu mengambil kuali bersama rantai besi dari gerai di situ.
Tertuduh yang berpura-pura sebagai pemilik gerai itu menjelaskan dia datang untuk berniaga tanpa menyangka lelaki itu pemilik sebenar gerai yang dicurinya.
Lelaki tersebut kemudian menangkap tertuduh dan merampas semula perkakasan itu bersama satu alat pemotong besi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan.
Dalam rayuannya, tertuduh memilih hukuman denda memandangkan dia terpaksa menyara anak dan kedua ibu bapanya yang sudah tua dengan pendapatan RM900 sebagai pemandu.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Zainal Mokhtar memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal memandangkan lelaki itu memiliki tiga rekod kesalahan lampau dan pernah dipenjarakan selama 20 bulan atas kesalahan memiliki dadah.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment