Sekumpulan enam murid lelaki darjah lima sebuah sekolah rendah, di sini layak digelar ‘gangster junior’ apabila sanggup bertindak membuli seorang murid sekolah sama dengan membuang air kecil ke atas badan kanak-kanak itu hanya kerana mangsa enggan menghisap rokok, petang kelmarin.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang juga murid darjah lima sekolah sama sedang bermain di padang permainan kawasan perumahan Taman Mega Jaya, di sini, sebelum dihampiri kumpulan kanak-kanak terbabit.
“Mereka yang melihat mangsa sedang bermain-main di padang berkenaan kemudian bertindak memanggilnya. Mangsa yang dipercayai sering dibuli kemudian menghampiri kumpulan itu.
“Kumpulan itu kemudian memaksa mangsa berbaring di tepi longkang. Namun mangsa enggan berbuat demikian menyebabkan dia dipukul dua ahli kumpulan itu dengan dua batang kayu beberapa kali,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang kesakitan kemudian terpaksa menurut perintah itu dengan berbaring di tepi longkang sambil dikelilingi ahli kumpulan itu.
Difahamkan, salah seorang ahli kumpulan itu turut merakam aksi buli mereka menggunakan telefon bimbit.
“Salah seorang daripada mereka kemudian bertindak memberi rokok kepada mangsa dan memaksanya menghisap rokok itu namun mangsa sekali lagi enggan.
“Kali ini, mereka bertindak lebih kejam apabila meletakkan rokok di mulut mangsa dan memaksanya menghisap rokok itu sambil memukulnya beberapa kali,” katanya.
No comments:
Post a Comment