cari maklumat di sini

Your Ad Here

Saturday, September 24, 2011

Pemimpin Chechnya jumpa Cangkir Rasulullah...????

Pemimpin Chechnya, Encik Ramzan Kadyrov, mendakwa berjaya memperolehi bahan peninggalan Nabi Muhammad saw - cangkir yang berusia 1,400 tahun.

Gambar: Pemimpin Chechnya, Encik Ramzan Kadyrov (kanan), menaiki kereta Rolls-Royce yang membawa cangkir -- didakwa milik Rasulullah yang berusia 1,400 tahun -- dari lapangan terbang ke masjid utama di ibu kota Grozny, kelmarin. -- Foto AFP

Pemerintah wilayah Caucasus Utara itu berkata cangkir berkenaan sebelum ini dimiliki Nabi Muhammad saw.

Cangkir tersebut telah diterbangkan ke ibu kota Grozny dari London di tempat ia disimpan oleh keturunan sepupu Nabi Muhammad saw, Sayidina Ali ibn Abi Talib, yang merupakan khalifah keempat.

Rabu lalu, Encik Kadyrov dengan bangga membawa kotak yang mengandungi cangkir itu turun dari sebuah pesawat di lapangan terbang negara itu.

Beliau kemudian menaiki kereta Rolls-Royce, yang diiringi berdozen kereta mewah, untuk membawa cangkir itu ke sebuah masjid utama di Grozny.

Ketibaan Encik Kadyrov disambut meriah oleh beratus-ratus jemaah dengan diiringi laungan Allahuakbar.

Beliau kemudian mengeluarkan cangkir tersebut dan menangis teresak-esak selepas menciumnya.

Majlis itu telah disiarkan saluran televisyen setempat dan dimuat naik ke laman web Chechnyatoday.com.

Beberapa jemaah kelihatan meminum air daripada cangkir itu sambil berdoa.

Dalam satu kenyataannya di laman web, pemerintah Chechen berkata 'cangkir ini digunakan oleh Nabi Muhammad sebelum diberikan kepada supupunya, Ali ibn Abi Talib - khalifah keempat'.

Tiada butir lanjut mengenai kesahihan cangkir itu.

Menurut kenyataan itu lagi, sesiapa saja boleh minum air daripada cangkir tersebut sempena Maulud Nabi.

'Tiada siapa yang boleh memberi butir lanjut mengenai asal usul cangkir ini. Rundingan mendapatkan cangkir ini dipimpin oleh peniaga terkenal, Encik Ruslan Baisarov, dan perkara ini diumumkan Encik Ramzan Kadyrov,' kata seorang jurucakap pemerintah Chechen.

Encik Kadyrov telah memerintah wilayah Chechnya sejak 2007, dan dilantik semula pada awal tahun ini.

Sebelum ini beliau telah melaksanakan beberapa projek dan acara besar di Grozny, yang bertujuan meningkatkan lagi pengaruh politiknya.

Beliau juga menggalakkan kebangkitan Islam di wilayah tersebut, dengan merasmikan sebuah masjid pada 2008 - dikatakan yang terbesar di Eropah. -- AFP.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

akhbar on line

Your Ad Here