cari maklumat di sini

Your Ad Here

Monday, May 16, 2011

polis cari duit...????...Mangsa Cedera Parah Dipukul Dengan Cota ...!!!



Gara-gara dituduh merempit, seorang operator pengeluaran sebuah kilang di sini didakwa dibelasah dengan cota oleh seorang anggota polis sehingga cedera semasa terjatuh daripada motosikalnya.

Lebih malang, remaja terbabit dikatakan terjatuh selepas melanggar sebuah motosikal yang turut menjadi mangsa dipukul anggota polis berkenaan dalam kejadian kira-kira 12.30 malam, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Farhan Abdul Malek, 22, berkata, semasa kejadian, dia menunggang motosikal dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Kebaya, di sini untuk ke rumah saudara di Pegoh untuk menziarah sepupunya yang baru sampai dari Kuala Lumpur.

“Semasa dalam perjalanan, tiba-tiba saya dikejutkan dengan satu kon jalan melayang entah dari mana dan mengenai seorang penunggang motosikal di hadapan saya.

“Akibatnya, motosikal dan penunggang berkenaan terjatuh menyebabkan saya juga gagal menekan brek dan terlanggar motosikal berkenaan. Saya juga terjatuh dan terseret atas jalan raya,” katanya.

Bagaimanapun, semasa menahan sakit, katanya, tiba-tiba seorang anggota polis datang dan mengheretnya ke tepi jalan sebelum mengeluarkan kata-kata kesat.

Menurutnya, anggota polis berkenaan menuduhnya merempit dan hendak melanggarnya semasa membuat sekatan jalan raya. sedangkan mangsa langsung tidak menyedari ada sekatan jalan raya memandangkan tiada pengadang diletakkan.

“Jalan berkenaan memang gelap dan saya tidak nampak apa-apa sehingga saya sedar penunggang motosikal di depan saya sehingga menyebabkan kami berlanggar sesama sendiri.

“Apa yang menghairankan saya, polis berkenaan tanpa usul periksa menarik saya ke tepi jalan dan terus memukul saya dengan cota sebanyak empat kali di belakang badan sebelah kiri tanpa menghiraukan kecederaan saya alami.

“Saya juga dituduh mahu merempit sedangkan saya beritahu mereka saya mahu ke rumah sepupu. Saya juga tidak melanggar kesalahan jalan raya kerana lengkap berhelmet dan mempunyai cukai jalan dan lesen memandu yang sah,” katanya.

Dia bagaimanapun dilepaskan kira-kira setengah jam selepas itu sebaik saja merayu kerana sakit dan luka teruk sebelum dihantar polis berkenaan ke Hospital Alor Gajah, di sini untuk rawatan.

“Saya kemudian bersendirian mendaftar di hospital berkenaan sebelum menghubungi sepupu dan bapa saya memaklumkan kejadian berlaku, sebelum dihantar ke Hospital Melaka pagi tadi (semalam) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Malek Enden, 57, berkata, akibat insiden berkenaan anaknya patah tulang rusuk belakang akibat dipukul dengan cota, selain cedera serius di kedua-dua belah tangan dan melecet di belakang badan.

Menurutnya, dia kesal dengan sikap anggota polis itu yang membuat tuduhan dan tindakan melulu terhadap anaknya sehingga menyebabkan kecederaan teruk.

“Sudahlah anak saya dituduh bukan-bukan, polis tersebut juga membuat sekatan jalan dengan cara tidak betul.

“Jika benar mahu membuat sekatan jalan, kenapa dengan peralatan yang tidak lengkap dan hanya dua pegawai sahaja terlibat?

“Tiada sebab untuk anggota polis ini membaling seorang penunggang motosikal dengan kon jalan jika tiada apa-apa kesalahan dilakukan penunggang berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Melaka, semalam.

Abdul Malek juga menjelaskan anaknya tidak pernah terlibat dengan kegiatan rempit.

“Saya masih keliru kenapa anak saya dipukul seolah-olah ada salah faham dan dendam dilepaskan kepada orang yang tak sepatutnya,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Abdul Malek membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah, petang semalam berhubung tindakan keterlaluan anggota polis berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Sariffudin Shaharudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan bapa mangsa.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian tersebut sebelum membuat sebarang tindakan.

Sehingga petang semalam, mangsa masih dirawat di wad D aras empat Hospital Melaka. -SH

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

akhbar on line

Your Ad Here