cari maklumat di sini

Your Ad Here

Thursday, August 5, 2010

Kes Bekas ADUN Ditembak Terus jadi Misteri




Misteri kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Datuk Abdul Aziz Mohd. Noh bersama Naib Ketua Wanita Umno Tanjung Karang, Siti Rohana Ismat dengan kesan tembakan pagi semalam terus menjadi perbualan dengan pelbagai teori dilontarkan.

Pelbagai andaian dibangkitkan bagaimana kedua-dua pemimpin Umno Tanjong Karang ini boleh terbunuh sebelum kereta mereka merempuh pembahagi lebuh raya dengan kesan tembakan di bahagian kepala.

Teori-teori yang dibangkitkan dalam pelbagai portal dan blog mendakwa kemungkinan ada pihak ketiga dalam kejadian itu.

Ia mempertikaikan ‘kemahiran’ melepaskan tembakan ngeri dari jarak dekat.
Bagaimanapun Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar telah menolak andaian sedemikian dengan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi tidak berasas.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan kematian Abdul Aziz, bekas setiausaha politik Tan Sri Abu Hassan Omar bersama Siti Rohana adalah akibat tembakan daripada salah seorang mangsa itu sendiri.

Kata Khalid, berdasarkan siasatan awal, tembakan dilepaskan dari dalam kereta dan tidak melibatkan orang lain.

Polis menemui pistol jenis revolver .38 dalam kereta tersebut yang mengandungi dua peluru hidup dipercayai kepunyaan Abdul Aziz, yang juga ahli jawatankuasa Umno Tanjong Karang.

Hasil bedah siasat menunjukkan terdapat dua kesan tembakan pada kepala Siti Rohana dan satu tembakan di kepala Abdul Aziz.

Bekas ADUN itu ditemui mati bersama Siti Rohana, 43, kedua-duanya dengan kesan tembakan, dalam kereta yang terbabas di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh dekat sini kira-kira 11 pagi.

Siti Rohana aktif dalam politik dan pernah menjadi pegawai peribadi kepada Abdul Aziz, dan mempunyai sebuah butik pengantin di Tanjong Karang.

Dalam pada itu, Allahyarham Abdul Aziz dilaporkan sepatutnya berkumpul bersama ahli keluarga termasuk adik-beradiknya malam tadi bagi meraikan kedatangan Ramadan.
Majlis berkumpul beramai-ramai yang diadakan seminggu sebelum Ramadan ini merupakan acara tahunan diraikan Abdul Aziz itu bersama keluarga terdekatnya.
Ramadan bermula minggu depan.

Namun, majlis makan malam bertujuan merapatkan hubungan keluarga itu bertukar menjadi kenduri arwah berikutan kematian mengejut Abdul Aziz, kata portal Malaysia-instinct.
Anak bongsu Allahyarham, Mohd. Anis Hisham, 33, yang kali terakhir beliau bertemu bapanya pukul 9 pagi semalam di rumah mereka di Shah Alam memberitahu:
“Kematian ayah mengejutkan saya dan semua ahli keluarga yang lain kerana ia berlaku menjelang Ramadan yang mana kami sudah merancang berkumpul untuk makan di rumah salah seorang saudara di Shah Alam malam ini (tadi).”

Mohd. Anis Hisham yang juga Exco Pemuda Umno berkata, sebagai anak bongsu dan lelaki tunggal daripada tiga beradik, beliau memang rapat dengan bapanya memandangkan kedua-dua mereka terlibat dalam politik.

Malah, katanya, beliau langsung tidak menyangka bahawa hubungan mereka bertambah rapat sejak akhir-akhir ini merupakan petanda Allahyarham akan meninggalkan keluarga buat selama-lamanya.

Sementara itu, adik Allahyarham, Rasiah Mohd. Noh, 63, berkata, beliau bersama keluarganya yang tinggal di Pulau Pinang datang ke Shah Alam Sabtu lalu semata-mata untuk bertemu dan berkumpul bersama keluarga Abdul Aziz dan dua lagi adik-beradik yang lain sebelum Ramadan.

“Acara berkumpul beramai-ramai seminggu sebelum Ramadan menjadi tradisi keluarga kami sejak turun-temurun.

“Dalam tempoh tersebut, kami akan bergotong-royong membersihkan kubur emak dan ayah dan mengadakan jamuan makan malam,” katanya sambil menyatakan perasaan amat terkilan tidak sempat menemui Abdul Aziz sejak tiba di Shah Alam kerana bercadang menemuinya malam tadi.

Sementara itu bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ch’ng Toh Eng ketika ditemui malam tadi menyifatkan Abdul Aziz sebagai rakan seperjuangan yang mudah mesra dan rapat dengan orang bawahannya.

“Saya kenal beliau sejak 1980-an. Beliau rapat dengan para nelayan di Kuala Selangor dan amat bertimbang rasa dan selalu membantu golongan miskin,” ujar Ch’ng.
Sementara itu Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menganggap Abdul Aziz sebagai mentor beliau dan kehilangan pemimpin itu sukar diganti.

“Allahyarham adalah seorang yang mempunyai ‘very cool minded’ dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan sendiri,” katanya.
Perkara yang sama ditekankan oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang sedih dengan kehilangan beliau.

(Malaysian Insider)

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

akhbar on line

Your Ad Here