cari maklumat di sini

Your Ad Here

Sunday, July 25, 2010

Surat sokongan ruang suburkan campurtangan politik

Wajar diakui agak sukar diharapkan mana-mana parti pemerintah mengambil sikap langsung tidak campurtangan dalam urusan pengagihan bantuan atau kontrak kerajaan kepada mana-mana pihak. Bagaimana pun demi melihat terlaksananya amalan pemerintahan lebih telus dan bertanggungjawab, kita tidak jemu meletakkan harapan agar soal campurtangan orang politik dalam urusan penjawat awam sebolehnya diminimakan, jika pun sukar dihapuskan sepenuhnya


Bertolak dari hasrat itu kita menyambut baik pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Idris Jala baru-baru ini yang meminta ahli politik menghentikan amalan mengeluarkan surat sokongan kepada para kontraktor yang memohon projek kerajaan. Beliau menganggap kewujudan surat sedemikian mengakibatkan pembaziran perbelanjaan kerajaan apabila penjawat awam yang mengendalikan urusan terbabit diletakkan dalam keadaan tidak selesa kerana terpaksa melayan kehendak “orang atasan”.

Sebetulnya perkara disebutkannya itu bukan isu baru. Ia malah bukan sahaja tertakluk kepada soal mengeluarkan surat sokongan untuk para kontraktor sahaja. Hakikat sebenar yang mendasari isu ini ialah soal campurtangan orang politik di dalam urusan penjawat awam, yang selalunya berakhir dengan perasaan amat tidak selesa di kalangan mereka.

Kewujudan surat sokongan sebegitu tidak ubah ibarat mewujudkan tekanan dan “arahan tersirat” agar pihak disokong mereka diberikan pertimbangan utama. Di masa sama, wujud pula perasaan rendah diri di kalangan penjawat awam apabila terpaksa akur dengan kehendak “orang atasan”.

Tahap profesionalisme mereka sudah tentu tercabar apabila mekanisme pemilihan calon berkelayakan bukan lagi di atas kriteria yang ditetapkan dalam syarat permohonan, tetapi lebih mengambil kira merit politik.

Seperti disebutkan tadi hakikat kewujudan “arahan tersirat” itu sebetulnya sudah menjadi tradisi di negara kita. Ia seakan sudah diterima sebagai amalan pemerintahan, sama ada di peringkat nasional, negeri mahu pun serendah peringkat kampung. Sokongan orang politik adalah perkara yang mesti disertakan rakyat yang memerlukan apa juga bentuk bantuan atau kelulusan dari kerajaan.

Ambil saja contoh pengagihan bantuan wang kepada golongan termiskin dan miskin. Penyediaan senarai penerima program itu selalunya dikuasai sepenuhnya oleh ketua masyarakat. Sudah menjadi tradisi, para ketua itu pula dilantik berdasarkan penguasaan politiknya di kawasan setempat.

Maka biar pun jenuh dilaungkan para pemimpin lebih tinggi kononnya kerajaan pimpinannya tidak mengamalkan pilih kasih dan tidak membezakan penerima berkelayakan berdasarkan merit politik, senarai penerima yang terhasil di bawah sana tetap tidak terlepas dari perkiraan tidak diingini itu.

Isu itu setakat ini masih berlarutan. Contohnya, minggu lalu Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said masih meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap soal keciciran nama golongan termiskin dan miskin di negerinya dari senarai penerima program e-Kasih. Beliau juga sedar betapa senarai sebelum ini banyak mengandungi unsur tidak sihat apabila ada di kalangan nama tersenarai bukan dari kalangan yang benar-benar termiskin dan miskin.

Soalnya, bagaimana kah kesilapan penyenaraian itu berlaku? Adakah ia semata-mata di atas kecuaian dan kelemahan para penghulu selaku penjawat awam yang dipertanggungjawabkan mengesahkan senarai itu? Ataukah ia berpunca daripada ketua-ketua kampung (lantikan politik) yang menyerahkan senarai nama itu untuk disahkan para penghulu?

Rasanya soalan-soalan tadi tidak perlu dijawab. Semua kita tidak sukar menerima hakikat bahawa penentu sebenar senarai penerima bantuan dari kerajaan, apa juga bentuk bantuan dan agihan ke peringkat kampung, ialah tidak lain daripada penguasa-penguasa politik bawahan. Para penghulu selaku penjawat awam hanyalah ibarat “rubber stamp” yang terpaksa mengesahkan senarai dari orang politik.

Dalam bentuk yang kononnya lebih sistematik dan berkesan, kita ambil pula contoh penubuhan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Barisan Nasional (BN) mengumumkan fungsi utamanya ialah sebagai badan penentu dalam meluluskan setiap bantuan disalurkan kerajaan Pusat.

MPPP dipengerusikan Ahli Parlimen BN di kawasan masing-masing. Manakala di kawasan di mana Ahli Parlimennya bukan daripada BN, pengerusi MPPP dipilih daripada salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN. Ahli-ahli MPPP terdiri daripada wakil-wakil rakyat, selain wakil-wakil jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan.

Seperkara paling ketara, kewujudan majlis ini sekali gus merampas kuasa meluluskan bantuan kepada penerima yang selama ini diberikan kepada para pegawai agensi atau jabatan terbabit. Ia kini dikuasai sepenuhnya wakil-wakil rakyat BN yang menganggotai dan menguasai mesyuarat MPPP.

Bukan setakat itu saja, pegawai agensi pertanian diberikan amaran keras agar jangan pandai-pandai meluluskan sebarang bantuan kepada rakyat tanpa persetujuan MPPP.

Berdasarkan realiti yang sudah bertradisi dalam masyarakat itu, apakah kita masih menerima alasan kononnya kewujudan surat sokongan orang politik sekadar pengesyoran atau cadangan dan bukannya arahan atau tekanan kepada penjawat awam?


Mat Zain Mat Isa

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

akhbar on line

Your Ad Here